
Laporan/foto: Eleannor Bedai/Nicholas Anak Jenaka (Sarawak)
KANOWIT, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Kuil Guang Gong di Nanga Bob, di sini yang dirasmikan kelmarin bukan sekadar berfungsi sebagai rumah ibadat, sebaliknya menjadi pusat kebudayaan dan sokongan sosial kepada penduduk sekitar.

Law Boon Chong berucap dan menyaksikan upacara tradisi sempena perasmian Kuil Guang Gong di Nanga Bob, Kanowit, yang menjadi pusat ibadat dan kebudayaan komuniti setempat.
Penganjur majlis, Law Boon Chong berkata ia dibuktikan melalui majlis yang menghimpunkan pemimpin komuniti, jawatankuasa kuil dan penganut setempat.
“Ia sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang turut diserikan dengan upacara tradisi termasuk tarian singa dan penyalaan colok.
Wakil jawatankuasa Kong Hoi Kiaw pula berpendapat pembinaan dan operasi kuil yang merupakan hasil kerjasama dan sumbangan masyarakat membuktikan komitmen bersama komuniti dalam memelihara warisan kepercayaan dan nilai murni.
Sementara itu, Pengerusi PDP Bahagian Dudong Datuk Teo Boon Siew yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Tiong King Sing menekankan bahawa kepercayaan tradisional masyarakat Cina berfungsi sebagai tunjang kerohanian dan pusat sokongan sosial, selain memupuk nilai murni seperti kesetiaan, kejujuran dan keadilan.

Teo Boon Siew (dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Liew Jenang atas sumbangan tapak tanah untuk pembinaan Kuil.
“Kepercayaan tetap memainkan peranan penting dalam memberi ketenangan jiwa serta kekuatan dalaman kepada masyarakat,” katanya.
Teo juga menyampaikan sijil penghargaan kepada dermawan yang menyumbang bagi penubuhan kuil, antaranya Kong Hoi Kian, Ling Ming Chik dan Liew Jenang.
Turut hadir Pemanca Leong Khing Hee, Ketua Masyarakat Kaum Cina Kanowit, Diane Gadong Vincent UNIFOR, wakil ketua jabatan, ketua-ketua kaum serta komuniti setempat.
-RJ-






