Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

734 Warga Emas Terima Bantuan Kecerian di Sikamat

By 17 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman/Media MBNS (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 17 Feb (MalaysiAktif) – Kerajaan Negeri Sembilan telah menyalurkan Bantuan Kecerian Warga Emas Masyarakat Melayu kepada 734 orang penerima di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat, semalam.

Aminuddin bersalaman mesra sambil menyerahkan sampul Bantuan Kecerian kepada seorang penerima warga emas

Inisiatif tahunan yang lazimnya disampaikan pada bulan Ramadan itu dipercepatkan pelaksanaannya pada tahun ini bagi membolehkan golongan warga emas membuat persiapan menyambut bulan puasa dengan lebih awal, selesa dan tenang.

Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, menzahirkan rasa terharu apabila berpeluang menyantuni warga emas yang dikenalinya sejak beliau mula diberi amanah berkhidmat di kawasan itu pada tahun 2008.

“Melihat wajah abang-abang dan kakak-kakak yang hadir, walaupun kini mencecah usia 70-an namun masih sihat dan ceria, ia benar-benar menyentuh hati serta senyuman mereka menjadi inspirasi buat saya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” kata beliau ketika berucap pada majlis tersebut.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun bergambar kenangan bersama sebahagian daripada 734 warga emas penerima Bantuan Kecerian di Dewan Komuniti Taman Coral Heights

Beliau turut menyeru rakyat negeri ini agar cakna dan membuat permohonan bagi pelbagai inisiatif kebajikan lain yang disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui laman sesawang www.n9.digital.

Antara inisiatif yang ditawarkan termasuklah bantuan perkahwinan kali pertama sebanyak RM500, bantuan kemasukan ke asrama penuh, bantuan melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah, serta Anugerah Siswazah Cemerlang bagi menghargai pencapaian mahasiswa.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Abdul Rahman Md Nor, 73, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan berterusan pihak kerajaan negeri.

“Alhamdulillah, bantuan yang dipercepatkan ini sangat bermakna dan melegakan hati kami golongan veteran, kerana wang ini dapatlah digunakan untuk membeli barangan keperluan asas dapur sebagai persiapan menyambut awal Ramadan nanti,” ujarnya dengan penuh gembira.

-AA-

Tinggalkan komen anda