Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

MACMA Perlis Anjur Sambutan Tahun Baharu Cina, Perkukuh Perpaduan Masyarakat Majmuk

By 18 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini/Anuar (Perlis)

KANGAR, 18 Feb (MalaysiaAktif) – Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Perlis telah menganjurkan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina bertempat di Rumah Siti Balqis, Kampung Nesam, Jalan Bintong, Kangar, semalam.

Lou Sang atau juga dikenali sebagai Yee Sang ialah hidangan tradisional semasa Tahun Baharu Cina

Majlis berkenaan dianjurkan bertujuan mengeratkan silaturahim, memupuk kefahaman antara budaya serta menyemai semangat keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

Pengerusi MACMA Perlis, Siti Balqis Wai Abdullah, berkata penganjuran sambutan tersebut bukan sekadar meraikan perayaan kebudayaan, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan komuniti serta mempromosikan nilai saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurutnya, kehadiran pemimpin masyarakat, wakil agensi serta orang ramai amat dihargai kerana ia mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa perpaduan dan keharmonian di peringkat akar umbi.

“Majlis ini diharap dapat menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana mesra, seterusnya memperkukuh jaringan sosial serta kefahaman rentas budaya yang menjadi asas kepada keharmonian negara,” katanya.

Pemberian angpau kepada kanak-kanak turut memeriahkan suasana

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kedah, Ibrahim Lai Abdullah,  berkata penganjuran Sambutan Tahun Baharu Cina oleh MACMA Perlis mencerminkan peranan aktif persatuan dalam merapatkan jurang kefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang.

Beliau berkata, program berbentuk kemasyarakatan dan kebudayaan seperti ini wajar diteruskan kerana ia berupaya menjadi medium berkesan untuk menyampaikan mesej keharmonian, toleransi serta memperkukuh perpaduan nasional.

“Majlis sebegini membuktikan bahawa kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia dapat diraikan dalam suasana harmoni, sekali gus mencerminkan nilai saling menghormati dan kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MACMA Perlis ini menjadi simbol penyatuan komuniti setempat serta mencerminkan komitmen berterusan persatuan dalam memupuk keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di negeri Perlis.

-AA-

Tinggalkan komen anda