Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Tunku Azizah Lawat Bayi TAFF Ke-151, Kongsi Kegembiraan Bersama Pasangan IVF

By 3 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman/Sharil Alias (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 3 Feb (MalaysiAktif) – Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) terus melakar kejayaan dalam menyokong rawatan kesuburan apabila merekodkan kelahiran bayi ke-151 hasil tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Tunku Azizah berkenan menandatangani buku pelawat sempena keberangkatan tiba baginda ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi meraikan kejayaan rawatan IVF tersebut

Pengasas TAFF Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat bayi lelaki, Sayf Al Ayubbi, dan ibunya Zahidah Zainudin, 33, di Wad 4A Kenanga, selain menyantuni petugas kesihatan serta berkongsi panduan penjagaan bayi kepada ibu-ibu di wad tersebut.

Dalam lawatan tersebut, baginda menzahirkan rasa syukur atas kelahiran berkenaan serta berkenan memaklumkan bahawa lapan lagi pasangan kini sedang menanti kelahiran cahaya mata masing-masing menerusi inisiatif yang sama.

“Sudah 20 tahun, TAFF telah membantu ramai pasangan tanpa mengira kaum yang masih belum dikurniakan anak,” titah baginda.

Sementara itu, Zahidah dan suaminya, Salahuddin Alayubi Nawawi, 41, menyifatkan kelahiran anak sulung mereka sebagai anugerah terindah selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.

Baginda turut menzahirkan rasa syukur atas kelahiran bayi berkenaan dan berkongsi bahawa lapan lagi pasangan kini sedang menanti kelahiran cahaya mata menerusi bantuan TAFF

Pasangan itu meluahkan rasa terharu kerana penantian satu dekad mereka akhirnya bernoktah hasil rawatan persenyawaan in vitro (IVF) yang ditaja sepenuhnya oleh TAFF.

Zahidah mengakui mereka hampir buntu setelah pelbagai ikhtiar dilakukan sebelum ini tidak membuahkan hasil sehinggalah menerima bantuan tersebut.

“Sebelum menjalani rawatan IVF ini, kami telah mencuba pelbagai cara namun belum dikurniakan rezeki. Alhamdulillah, impian untuk bergelar ibu akhirnya termakbul,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

-AA-

Tinggalkan komen anda