Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

8,000 Rakyat Pelbagai Kaum Banjiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan

By 18 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasnida Sarani/Media MBNS (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 18 Feb (MalaysiaAktif) – Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) meriah dengan kehadiran kira-kira 8,000 pengunjung berbilang kaum, semalam.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani bersama kerabat diraja berkenan mencemar duli ke majlis sambutan

Majlis tersebut diserikan lagi dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud mencemar duli ke Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan.

Turut berangkat ialah Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin, serta Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin.

Keberangkatan tiba keluarga diraja serta kehadiran rakyat jelata disambut mesra oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun bersama isteri bagi sama-sama meraikan perayaan yang penuh warna-warni itu.

Pengunjung tidak hanya dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Cina seperti tarian naga dan singa serta nyanyian artis tempatan, malah turut berpeluang menikmati pelbagai juadah di reruai makanan yang disediakan.

Seorang pengunjung ketika ditemui, Lee Jian Wen, 35, yang datang bersama keluarganya dari Senawang seawal jam 8 pagi menyifatkan sambutan tahun ini sebagai sesuatu yang sangat luar biasa.

“Anak-anak saya paling teruja melihat tarian naga secara dekat dan kami sekeluarga gembira dapat menikmati pelbagai juadah bersama rakan-rakan berbangsa Melayu dan India di satu meja. Inilah keindahan sebenar Malaysia,” ujarnya.

Sambutan meriah yang berlangsung hingga ke petang itu jelas mencerminkan kelangsungan suasana masyarakat yang hidup sejahtera, harmoni dan saling menghormati di bawah naungan institusi diraja serta kepimpinan kerajaan negeri.

-AA-

Tinggalkan komen anda