Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Cubaan Seludup 540 Karton Minuman Keras Gagal

By 18 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Zon Maritim Labuan

LABUAN, 18 Feb (MalaysiaAktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 540 karton minuman keras berjenama bernilai hampir RM200 ribu yang cuba dibawa keluar dari perairan Labuan tanpa cukai, pada Isnin malam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan Izwanhadi Idros, bot yang membawa minuman keras terbabit memecut laju melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa tetapi tindakan pantas anggota penguat kuasa Maritim Malaysia berjaya menyekat bot berkenaan dan merampas semua muatan.

540 karton minuman keras berjaya dirampas hasil kecekapan anggota penguat kuasa Zon Maritim Labuan

“Bot PETIR 90 telah mengesan tiga buah bot mencurigakan sekitar pukul 8.15 malam, 0.4 batu nautika tenggara Pulau Papan ketika menjalankan Op SEJAHTERA 1/2022 dan Op TIRIS 3.0.

“Ketika dihampiri, bot-bot terbabit cuba melarikan diri menyebabkan berlaku aksi kejar-mengejar sehingga dua bot berpatah balik ke kawasan Methanol Labuan manakala sebuah lagi tersadai di Pulau Balangkasan, dengan suspek dipercayai melompat dan melarikan diri ke pulau tersebut,” menurut beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan muatan sarat minuman keras namun tiada suspek ditemui semasa rondaan di sekitar pulau.

“Bot dan muatan telah dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat untuk disiasat di bawah undang-undang penyeludupan dan peraturan kastam,” katanya lagi.

-AA-

Tinggalkan komen anda