
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Amalan berkongsi rezeki khasnya dalam bulan Ramadan mampu menyuburkan sifat empati dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.

Tiara Labuan Hotel turut menyantuni pengamal media tempatan.
Menurut Pengerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tiara Labuan Hotel, Nur’Ain Osman pihaknya turut mengambil kesempatan dengan kehadiran Ramadan untuk berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim di sini semalam.
“Program Majlis Makan Amal Bersama Anak Yatim ini merupakan simbol kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab sosial kita untuk menggembirakan anak-anak yatim serta menyemai nilai kemanusiaan dalam masyarakat, semoga kehadiran kita semua memberi sinar kegembiraan dan kenangan indah buat mereka.
“Penganjuran program ini merupakan inisiatif tahunan pihak pengurusan bagi menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan warga kerja hotel,” katanya, di sini semalam.

Warga kerja Tiara Labuan Hotel bergambar kenangan bersama semua anak-anak yatim yang diraikan.
Jelasnya, institusi perhotelan bukan sekadar menawarkan perkhidmatan penginapan tetapi turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan budaya kebajikan dan menyemai kasih sayang dalam masyarakat.
“Ramadan adalah bulan untuk berkongsi rezeki dan kami mahu anak-anak ini merasai suasana berbuka puasa di hotel serta menikmati kemeriahan Ramadan seperti tetamu lain,” katanya.
Dalam majlis itu seramai 17 orang anak-anak yatim menerima duit raya dan sumbangan cenderahati yang telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Tiara Labuan Hotel Chai Tze Khee.
-RI





