
Laporan/foto: Firdaus Hadi (Simunjan)
SIMUNJAN, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara menjadikan Wong Panchor di Kampung Mentu, Ulu Simunjan, di sini sebagai antara destinasi pendakian santai yang berpotensi besar dalam menggalakkan gaya hidup aktif, khususnya dalam kalangan pencinta rekreasi luar.
Dikelilingi hutan berkanopi rimbun jenis mixed dipterocarp lowland secondary forest, kawasan ini menawarkan suasana redup dan nyaman, sekali gus memberikan pengalaman pendakian yang selesa serta mendamaikan.

Keunikan Wong Panchor terletak pada air terjun tinggi berwarna teh dan hutan berkanopi yang menenangkan pendaki.
Keistimewaan Wong Panchor terletak pada air terjunnya yang tinggi dengan aliran air berwarna seakan-akan teh, sekali gus menambah daya tarikan tersendiri kepada pengunjung.
Seorang pendaki aktif, Aidil Adha Zainoren, 34, atau lebih dikenali dalam komuniti pendaki sebagai Kayangan Hunter, berkata Wong Panchor menawarkan pengalaman pendakian sederhana dengan persekitaran hutan yang masih terpelihara serta pemandangan air terjun yang unik.
“Saya memilih Wong Panchor kerana ia merupakan salah satu lokasi yang belum pernah saya terokai. Keunikan air terjunnya yang tinggi dengan struktur dinding batu yang besar dan rata menjadi tarikan utama,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.
Aidil yang berasal dari Melaka berkata lokasi tersebut amat sesuai dijadikan destinasi aktiviti hujung minggu memandangkan jaraknya hanya kira-kira dua jam setengah perjalanan dari Kuching.
Menurut beliau, tempoh pendakian dari titik permulaan ke kawasan air terjun mengambil masa sekitar 40 minit dan dikategorikan sebagai laluan sederhana bergantung kepada tahap kecergasan individu.
“Bagi pendaki yang mempunyai tahap stamina yang baik, laluan ini agak mudah dan sesuai untuk aktiviti pendakian santai,” ujarnya.
Selain itu, kawasan ini turut dihiasi tumbuhan semula jadi seperti pokok kapur dan orkid liar yang memperkayakan biodiversiti serta menyerlahkan keindahan flora tempatan.
Dari segi kemudahan, pengunjung disediakan kawasan parkir yang luas, tandas, bilik persalinan dan pondok rehat bagi memastikan keselesaan sepanjang berada di lokasi tersebut.
Aidil turut mencadangkan agar kemudahan di kawasan permulaan pendakian dapat dinaik taraf bagi meningkatkan lagi keselesaan dan keselamatan pengunjung.
“Semua pengunjung perlu bersama-sama menjaga kebersihan dan kelestarian alam supaya Wong Panchor kekal sebagai lokasi pendakian yang selamat dan dapat dinikmati oleh semua,” tambahnya lagi.
Pada masa sama, beliau berharap kawasan Wong Panchor di Kampung Mentu akan terus dipelihara sebagai destinasi rekreasi yang menyokong gaya hidup aktif dan sihat untuk generasi akan datang.
-RJ-





