
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Sarawak)
LIMBANG, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Bazar Ramadan Usahawan Kiosk Persatuan Melayu Limbang (PML) 2026 kembali dianjurkan dengan menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa kepada penduduk di daerah ini.
Bazar yang menghimpunkan usahawan tempatan itu menyediakan hidangan tradisional dan moden termasuk makanan panas, sajian bakar, kuih-muih, kek, biskut serta pelbagai jenis minuman. Setiap kali Ramadan, bazar ini menjadi antara lokasi tumpuan penduduk daerah ini untuk mendapatkan juadah berbuka puasa bersama keluarga dan rakan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, penganjuran bazar berkenaan membuka ruang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan selain memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka berhampiran kediaman mereka.

Hasbi turut meluangkan masa beramah mesra dengan usahawan yang menyertai program berkenaan.
“Bazar ini bukan sahaja membantu usahawan tempatan mencari rezeki dan memajukan diri tetapi juga memudahkan orang ramai mendapatkan hidangan berbuka puasa,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian, semalam.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang turut beramah mesra dengan usahawan serta mengedarkan buah kurma kepada pengunjung.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang Mohamad Abu Bakar.
-RJ-






