
Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad/Noor Syuhada Yasin (Kedah)
ALOR SETAR, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Penghasilan beg buatan tangan (handmade) melalui projek SejaTi MADANI di Taman Nuri kini menjadi platform utama dalam memartabatkan produk kraftangan tempatan ke pasaran yang lebih luas.

Warga Bengkel SejaTi MADANI Taman Nuri bergambar di hadapan bengkel jahitan dan kraftangan selepas sesi lawatan kerja bagi meninjau penghasilan produk beg handmade tempatan
Penyelaras bengkel Badriah Mustaffa, 60, berkata bengkel jahitan tersebut menghasilkan pelbagai jenis beg mengikut tempahan agensi termasuk Tourism Penang yang membawa produk ini ke peringkat luar.
“Kami menggunakan pelbagai jenis material untuk menghasilkan produk seperti beg kunci, beg mekap dan beg telekung yang mempunyai nilai estetika tersendiri kerana dijahit dengan tangan sepenuhnya.
“Harga jualan juga sangat berpatutan iaitu RM10 untuk beg kunci, RM35 bagi beg mekap dan RM55 bagi beg telekung bergantung kepada saiz serta kerumitan material yang digunakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pekerja bengkel, Siti Mariah Ismail, 42, berkata setiap produk dihasilkan dengan penuh penelitian bagi memastikan hasil jahitan yang kemas dan memenuhi kualiti produk kraftangan yang tinggi.

Siti Mariah menonjolkan kemahiran jahitan halus dalam menyiapkan tempahan beg bagi memastikan setiap produk memenuhi kualiti buatan tangan yang ditetapkan
“Penglibatan dalam bengkel ini membantu kami meningkatkan kemahiran seni jahitan selain menjana pendapatan melalui penghasilan kraf yang unik untuk komuniti setempat,” katanya.
Inisiatif di bawah program SejaTi MADANI ini membuktikan bahawa produk handmade tempatan mampu bersaing dan mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan secara profesional melalui kerjasama pelbagai agensi.
-AA-





