
Laporan/foto: Nur Shazreena Harith/Siti Hajar Kamis
NILAI, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Melangkah masuk ke Butik Roti Maria di Kampung Sungai Mahang, suasana sederhana yang dikelilingi alam semula jadi memberikan ketenangan kepada pengunjung, seolah-olah mengajak pengunjung memperlahankan langkah sambil mengimbau kenangan lama.

Kawasan di sekitar anak sungai Butik Roti Maria
Butik roti ini diusahakan sejak 20 tahun lalu oleh sepasang suami isteri, Mariah dan Baudin, sebelum diambil alih oleh anak mereka, Nurliyana Baudin, seorang gGraduan Sarjana Applied Linguistics dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Nurliyana memilih untuk pulang ke tanah air selepas menimba pengalaman mengajar di luar negara bagi mencurahkan ilmu dan empati dalam membantu kanak-kanak berkeperluan khas yang memerlukan ruang sokongan di tanah milik mereka sekeluarga.
Menurut Nurliyana, beliau berbangga apabila Butik Roti Maria kini dikenali sebagai sebuah sanctuary atau ruang selamat, khususnya untuk kanak-kanak berkeperluan khas termasuk mereka yang berdepan ketagihan gajet, Autisme, Sindrom Down dan Cerebral Palsy (CP), selain turut mesra warga emas.
“Di sinilah kreativiti diraikan, masa diluangkan, dan hubungan sesama manusia dipulihkan. Inisiatif ini menjadikan Butik Roti Maria sebuah perusahaan sosial yang bergerak dengan hati,” katanya.
Keistimewaan Butik Roti Maria bukan sahaja terletak pada roti dan hidangan yang disediakan, malah pada perhatian rapi terhadap aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Anak sungai yang mengalir di kawasan butik dibersihkan setiap tiga jam bagi memastikan persekitaran kekal selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan warga emas.
Butik Roti Maria turut memberi peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Mahang, sekali gus melambangkan semangat kebersamaan dan kepercayaan terhadap nilai setiap insan dalam komuniti.
-AA-





