Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Warisan De’ Village Sawah Sempadan Destinasi Unik di Tengah Jelapang Padi

By 4 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Shahrizal Ismail (Kuala Selangor)

KUALA SELANGOR, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Terletak di tengah-tengah keindahan jelapang padi, Warisan De’ Village Sawah Sempadan kini menjadi antara tumpuan utama pelancong yang mendambakan suasana kampung yang damai dan tenang.

Pengunjung merasai suasana kampung berlatar belakang sawah padi

Premis berkonsepkan inap desa dan kem latihan itu menawarkan pengalaman kehidupan kampung berlatarbelakangkan sawah padi, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menikmati ketenangan alam semula jadi yang sukar diperoleh di kawasan bandar.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, pelbagai kemudahan turut disediakan, antaranya kolam renang dewasa dan kanak-kanak, akses WiFi, kafeteria serta dewan terbuka bagi penganjuran pelbagai majlis dan aktiviti berkumpulan.

Seorang pengunjung, Ahmad Fuad Azlan, 47, berkata kunjungan sulungnya ke inap desa tersebut bersama keluarga memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna selain berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi sambil melakukan aktiviti riadah yang jarang ditemui di kawasan bandar.

Warisan De’ Village Sawah Sempadan menyajikan ketenangan dan keindahan alam semula jadi

“Kami sempat melakukan riadah sawah seperti berbasikal dan memancing. Paling menarik adalah meluangkan masa di Laman Santai yang menyajikan pemandangan sawah yang cukup indah.

“Selain itu, penggunaan pengangkutan unik seperti trem dan ATV untuk meneroka kawasan sekitar memberikan pengalaman baharu buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Warisan De’ Village Sawah Sempadan yang terletak berhampiran Kuala Selangor ini terus konsisten mempromosikan pelancongan domestik dengan mengekalkan identiti kehidupan kampung yang autentik.

-AA-

Tinggalkan komen anda