
Laporan/foto: Latifah Salleh/Noorliana Mohd Ali (Tangkak)
TANGKAK, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Galeri Sejarah Tangkak, di sini yang mula dibuka pada tahun 2024 terus mengorak langkah sebagai pusat rujukan sejarah dan destinasi persinggahan pelancong di daerah ini.
Terletak di Jalan Dataran 1 berhampiran Dewan Jubli Intan Tangkak, galeri yang mempamerkan pelbagai koleksi artifak bersejarah ini terbina hasil transformasi daripada bangunan yang dahulunya merupakan dua buah kedai makan.

Zainurin Sahir di ruang galeri, dipenuhi pelbagai barangan bersejarah yang pasti menarik minat pelancong.
Pengurus galeri, Zainurin Sahir berkata beliau menggunakan peruntukan peribadi untuk memperoleh bahan pameran daripada pengusaha warisan dan pengumpul barang antik.
“Artifak lama tentang kehidupan orang-orang terdahulu serta koleksi masyarakat Melayu, Cina dan India semuanya saya beli dan peroleh daripada pengusaha warisan dan pengumpul barang antik,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Antara koleksi utama yang dipamerkan ialah gendang Dongson yang dipercayai berusia kira-kira 2,500 tahun dan dibeli di Terengganu.
Selain itu, terdapat gramofon (alat klasik yang digunakan untuk memainkan rakaman bunyi daripada piring hitam) keluaran tahun 1938 yang dibeli dari sebuah kedai di Batu Pahat dan masih berfungsi dalam keadaan baik.
Zainurin turut mempamerkan pelbagai koleksi lain termasuk perisai, pakaian seragam tentera dan posmen, koleksi senjata seperti keris, tombak dan parang, selain pelbagai jenis congkak lama serta telefon klasik di situ.

Koleksi perisai yang dipamerkan.
“Galeri ini yang turut terletak berdekatan tapak lokasi Uptown Tangkak dibuka setiap hari, mulai jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari dan 8.30 malam hingga 11 malam tanpa sebarang bayaran. Pengunjung boleh memberikan sumbangan seikhlas hati ke dalam tabung yang disediakan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Tangkak dan berharap galeri berkenaan dapat ditambah baik dari segi keluasan ruang serta dilengkapi kemudahan asas seperti tandas.
Katanya, promosi berterusan perlu dilaksanakan bagi menjadikan galeri tersebut sebagai lokasi wajib singgah dalam kalangan pelancong ke Tangkak.
-RI





