Skip to main content
Berita TempatanSarawak

GiatMARA Hulu Rejang Perkasa Belia Melalui Latihan Kemahiran

By 27 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Evelyn Lungan/Awangku Hamizan (Sarawak)

BELAGA, 27 Feb (MalaysiaAktif) – GiatMARA Hulu Rejang sejak 2011 terus memperkasa komuniti Belaga melalui penyediaan latihan kemahiran teknikal kepada golongan belia luar bandar.

Dayang Fairuz komited melahirkan modal insan berkemahiran sekali gus memperkukuh taraf sosioekonomi masyarakat Belaga.

Pengurusnya, Dayang Fairuz Awang Baim berkata institusi itu menawarkan Kursus Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam serta Kursus Pendawai Elektrik bagi meningkatkan kebolehpasaran pelatih.

“Apabila tamat latihan, pelatih mempunyai kemahiran dan pengalaman untuk bekerja, menjalankan perniagaan sendiri atau menyambung pengajian,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata cabaran utama ialah mendapatkan penyertaan pelatih berikutan faktor lokasi, jarak serta capaian maklumat yang terhad sehingga memerlukan pihaknya melaksanakan promosi secara turun padang.

“Walaupun promosi dibuat melalui media sosial, masih ada yang tidak mendapat maklumat, jadi kami perlu mendekati komuniti secara langsung,” katanya.

Dayang Fairuz berkata pihaknya merancang memperkukuh kerjasama strategik dengan beberapa organisasi bagi membuka peluang penempatan pekerjaan selain memperkenalkan kursus bergerak seperti jahitan dan gunting rambut untuk komuniti pedalaman.

Seorang pelatih Kursus Pendawai Elektrik Rick Warren Angku, 21, berkata latihan itu membantunya membina asas kemahiran untuk kerjaya masa depan manakala pelatih kimpalan Jeremiah Albert, 18, berhasrat menceburi industri luar pesisir selepas tamat kursus.

-RJ-

Tinggalkan komen anda