
Laporan/foto: Ameer Rithauddin Roslan (Hulu Selangor)
HULU SELANGOR, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat serta Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H bagi daerah Hulu Selangor yang berlangsung di Masjid Sungai Tengi, Felda Sungai Tengi, di sini semalam.

DYTM Raja Muda Selangor menyantuni rakyat yang hadir sambil diiringi Menteri Besar Selangor
Pada majlis tersebut, baginda berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM262,500 kepada 525 asnaf terdiri daripada 99 fakir, 355 miskin dan 71 mualaf dengan setiap penerima menerima RM500.
Baginda turut berkenan berbuka puasa bersama rakyat serta menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah, diikuti solat fardu Isyak dan Solat Sunat Tarawih 20 rakaat bersama penduduk setempat.
Hadir mengiringi baginda ialah Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Dato’ Setia Salehuddin Saidin serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr. Mohammad Fahmi Ngah.
-AA-





