
Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)/Facebook FAMA Negeri Kedah
SUNGAI PETANI, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Program Semarak Ramadan 1447H @ Pasar Tani Peringkat Negeri Kedah anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dilaksanakan di Pasar Tani Sungai Petani bagi membantu orang ramai membuat persediaan awal menyambut Ramadan.

Dr. Mohamad Sofee (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian.
Ahli Lembaga Pengarah FAMA Dr. Mohamad Sofee Razak ketika ditemui berkata FAMA sentiasa prihatin akan rungutan rakyat berhubung peningkatan kos sara hidup dan menganjurkan program seumpama ini sebagai langkah proaktif membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga berpatutan.
“FAMA sentiasa mengambil berat tentang rungutan rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup dan atas dasar itulah FAMA mengambil kesempatan menganjurkan program seumpama ini bagi membantu rakyat,” katanya.
Antara pengisian program termasuk Jualan Agro MADANI yang menawarkan pelbagai produk segar dan hasil pertanian terus daripada pengeluar, jualan daging pada harga istimewa RM25 sekilogram, selain agihan telur masin dan bubur lambuk kepada pengunjung.

Salah seorang pengunjung pasar tani Zabidi Shamsudin, 56, turut membeli barangan keperluan harian.
Turut hadir Ketua Unit Institusi Pasaran Mohd Faiz Shuaib, Ketua Unit Korporat dan Advokasi FAMA Negeri Kedah Jamal Othman serta Pegawai FAMA Daerah Kuala Muda Nur Shafaiza Abu Bakar.
Salah seorang pengunjung, Zabidi Shamsudin, 56, berkata beliau berpeluang membeli pelbagai barangan keperluan harian pada harga jauh lebih rendah sebagai persediaan Ramadan.
“Pada hari ini saya dapat berbelanja pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang jauh lebih rendah dari biasa sebagai persediaan menyambut Ramadan tidak lama lagi,” katanya.
-RI





