
Laporan/foto: Aini/Jabatan Alam Sekitar
KANGAR, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis meningkatkan kerjasama aktiviti rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi mencegah pembakaran terbuka yang menyumbang kepada pencemaran udara, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.

Kerjasama pelbagai pihak membantu JAS dalam mengekang pembakaran terbuka.
Pengarahnya, Jamal Affendy Shahar berkata rondaan harian dan pemantauan fizikal termasuk penggunaan dron telah dipergiatkan merangkumi kawasan-kawasan berisiko terbakar seperti kawasan pertanian, kawasan belukar serta tapak pelupusan sampah.
“Rondaan dan pemantauan turut dijalankan dengan kerjasama agensi rakan strategik seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi penguatkuasaan lain bagi meningkatkan liputan kawasan rondaan dan keberkesanan tindakan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.
Dalam pada itu beliau berkata sebanyak 12 aduan pembakaran terbuka telah diterima dan disiasat berhubung situasi itu.
Beliau turut meminta orang ramai tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka seperti pembersihan kebun, sisa pertanian dan domestik atau kawasan belukar bagi mengelakkan kejadian pencemaran udara yang boleh menjejaskan kesihatan dan mendatangkan tindakan perundangan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka yang melanggar peruntukan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, hukuman denda sehingga RM1,000,000 atau penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga tidak melebihi 50 peratus denda maksimum boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya.
-RI






