Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kebun Kak Zie dari Tanah Terbiar ke Ekopelancongan

By 26 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Kebun Kak Zie yang diusahakan pasangan suami isteri Radziah Tamsir, 56, dan suaminya Radzi Abd Rahman, 56, kini berpotensi dibangunkan sebagai tapak ekopelancongan baharu di daerah ini.

Sebuah kebun kecil dengan suasana yang nyaman serta kehijauan alam semula jadi telah menjadi sumber pendapatan mereka serta memberi manfaat besar kepada komuniti setempat sejak dimulakan pada tahun 2019 melalui Projek Tanah Terbiar di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Radziah memungut petola untuk diedar.

“Walaupun bermula secara kecil-kecilan, hasil tanaman segar yang dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran, sedikit sebanyak membantu meringankan kos sara hidup penduduk kampung,” kata Radziah kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Dengan peruntukan RM10,000 dalam bentuk barangan keperluan kebun dan sokongan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Jabatan Pertanian serta Insititut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), kebun berkenaan kini mengusahakan pelbagai tanaman termasuk nanas, pisang, ubi kayu, bawang, sayur-sayuran, daun kunyit dan herba, selain menternak ikan keli dan ikan tilapia sebagai sumber tambahan pendapatan.

Menariknya, di Kebun Kak Zie pengunjung turut berpeluang melihat serta memetik sendiri hasil tanaman segar.

“Bukan selalu kita dapat kutip sendiri buah dan sayur segar, kemudian beli dengan harga lebih murah daripada pasaran.

Tanaman nanas yang diusahakan pasangan Radziah dan Radzi hidup subur, sentiasa memenuhi permintaan penduduk setempat.

“Ini pengalaman yang sangat bermakna terutama untuk anak-anak yang membesar di kawasan bandar,” kata Jamil Abu Bakar, 37, salah seorang pengunjung kebun berkenaan.

Usaha pasangan ini menunjukkan bahawa tanah terbiar boleh diubah menjadi sumber rezeki berpanjangan melalui kesungguhan, perancangan rapi dan sokongan agensi berkaitan.

Kebun Kak Zie kini bukan sahaja menyokong kehidupan keluarga pengusaha, malah turut memberi impak positif kepada komuniti serta membuka peluang pendidikan dan pengalaman ekopelancongan untuk generasi muda.

-RI

Tinggalkan komen anda