Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Agihan Bubur Lambuk Semarakkan Ramadan, Erat Ukhuwah

By 26 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad/Ismail Hassan (Kota Setar)

ALOR SETAR, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Agihan kira-kira 750 bekas bubur lambuk secara percuma pada setiap Rabu sepanjang Ramadan di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah terus menyemarakkan bulan mulia selain mengeratkan ukhuwah dalam kalangan kakitangan dan sukarelawan yang terlibat.

Program tahunan sebagai pengisian istimewa bulan Ramadan yang bermatlamat berkongsi rezeki serta memupuk semangat gotong-royong itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Ustaz Khairrul Anwar (tengah) bersama sukarelawan menyediakan dua periuk besar bubur lambuk yang menggunakan ramuan khas di Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah.

Penyediaan bubur lambuk dilakukan secara bersama oleh kakitangan pusat dakwah dan sukarelawan seawal pagi sebelum diagihkan kepada orang ramai menjelang waktu berbuka.

Tukang masak utama, Khairrul Anwar Md Amin, 45, berkata dua periuk besar bubur lambuk dimasak menggunakan ramuan berkualiti termasuk daging segar bagi memastikan juadah yang disediakan memenuhi cita rasa penerima.

“Keistimewaan bubur lambuk kami terletak pada penggunaan bawang goreng yang dimasukkan pada peringkat akhir masakan bagi membangkitkan aroma serta rasa yang lebih unik dan menyelerakan.

“Keseluruhan kos penyediaan berjumlah kira-kira RM1,000 merangkumi bahan mentah seperti beras, daging dan santan yang diperoleh hasil sumbangan pihak luar yang ingin berinfak,” katanya ketika ditemui di pusat dakwah tersebut, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada individu atau mana-mana pihak bagi menampung kos penyediaan bubur lambuk sepanjang Ramadan.

Semangat gotong-royong kakitangan dan sukarelawan yang turut mengalu-alukan sumbangan infak orang ramai bagi menjayakan agihan juadah tersebut sepanjang Ramadan.

“Sesiapa sahaja boleh menyumbang dan pihak kami akan menguruskan sepenuhnya daripada proses memasak sehinggalah pengedaran kepada orang ramai,” ujarnya.

Selain membantu meringankan beban masyarakat dalam menyediakan juadah berbuka puasa, inisiatif itu turut menjadi medium terbaik memperkukuh semangat kebersamaan dan memupuk budaya saling membantu dalam komuniti setempat.

Tradisi agihan bubur lambuk ini sekali gus mencerminkan semangat Ramadan yang sebenar iaitu berkongsi rezeki, menyemai kasih sayang dan mempereratkan hubungan sesama insan demi kesejahteraan ummah.

-RI

Tinggalkan komen anda