Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Stor Plastik di Sengkang Musnah Terbakar 80 Peratus

By 26 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurulaini/Norasilah (Kulai)

KULAI, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Sebuah stor penyimpanan plastik jenis separuh kekal musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kebakaran yang berlaku di Kawasan Perindustrian Sengkang, di sini kelmarin.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai Muhammad Fauzi Awang berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 4.45 petang sebelum 32 anggota daripada BBP Kulai, BBP Bandar Baru Kulai, BBP Skudai dan BBP Larkin digegaskan ke lokasi.

Anggota bomba beserta jenteranya yang berada di lokasi kebakaran.

Beliau berkata operasi pemadaman dibahagikan kepada tiga sektor utama iaitu bahagian hadapan, sisi dan belakang bangunan bagi mengepung serta mengawal kebakaran secara menyeluruh.

“Pasukan bomba menggunakan kaedah relay pumping daripada sumber air terbuka iaitu sungai berhampiran, selain menggerakkan tiga aliran sepanjang 800 kaki, tiga ‘breaching’ dan enam pancutan bagi memastikan api dapat dikawal dengan berkesan.

“Bantuan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) turut digunakan untuk pemadaman di bahagian atas struktur bangunan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Kepulan asap dari lokasi kebakaran.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 8.39 malam namun operasi pemadaman keseluruhan masih diteruskan berikutan terdapat timbunan bahan plastik yang masih terbakar dan sukar dicapai.

“Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar Malaysia turut menjalankan pemantauan kualiti udara secara berterusan susulan kejadian itu bagi memastikan tahap keselamatan penduduk serta pekerja industri berhampiran sentiasa terkawal.

-RI

Tinggalkan komen anda