Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Tegas Tindakan Isu Rumah Ibadat Ikut Lunas Undang-Undang

By 12 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap struktur yang dibina tanpa kelulusan termasuk rumah ibadat mesti dilaksanakan oleh pihak berkuasa berlandaskan undang-undang serta Perlembagaan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini.

Beliau berkata arahan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini jelas memberi tanggungjawab kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya dan bukan memberi blank cheque (kuasa mutlak) kepada mana-mana pihak untuk bertindak sendiri.

“Isu-isu sensitif seperti ini mesti diurus melalui proses perundangan. Jangan sesekali mengambil tindakan sendiri.

“Diulangi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri malam tadi dalam acara bersama Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Sambutan Tahun Baharu Cina bahawa jangan sesekali take it into your own hands to take action. Kita perlu uruskan isu-isu ini melandaskan undang-undang dan Perlembagaan, bukan emosi dan perasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Menurutnya lagi komunikasi yang lebih jelas daripada PBT amat penting bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, Fahmi turut menegaskan kepentingan memperkukuh perpaduan negara menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan dengan mengingatkan bahawa Malaysia sebagai negara majmuk perlu terus berpaksikan kedaulatan undang-undang dalam mengurus perbezaan agama dan kaum.

“Dalam suasana beberapa hari menjelang Tahun Baru Cina dan kita memasuki bulan Ramadan, memupuk semangat persefahaman, semangat perpaduan di samping memahami kedaulatan undang-undang itu harus menjadi paksi.

“Tidak ada negara lain yang berjaya dikemudi dengan begitu baik, dengan kepelbagaian kemajmukan, kaum, agama dan bahasa seperti di Malaysia yang telah mencapai satu tahap kemajuan yang sangat membanggakan dan insya-Allah akan terus menjadi destinasi para pelabur,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda