
Laporan/foto: Hikal Aripin/Wan Zuhairi (Petaling)
PETALING JAYA, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Penduduk di sekitar Taman Medan, di sini berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah menerusi Program Jualan Ehsan Rahmah MADANI yang diadakan di perkarangan Surau Al-Hijriyah, Flat PKNS Taman Dato’ Harun, hari ini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Halimey Abu Bakar berkata inisiatif ini bertujuan membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dalam mendepani cabaran kos sara hidup dengan menawarkan pelbagai barangan basah dan kering pada harga yang sangat berpatutan.
“Antara barangan utama yang menjadi tumpuan adalah ikan, ayam, telur, dan minyak masak. Kita mahu memastikan rakyat setempat mempunyai akses kepada barangan berkualiti pada harga yang mampu milik,” katanya ketika meninjau tapak jualan tersebut.
Program berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Taman Medan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Seorang penduduk, Asimah Rein, 64, program ini disifatkan sebagai satu rahmat buat warga emas dan keluarga besar seperti beliau.
“Inisiatif ini amat membantu dalam meringankan beban perbelanjaan dapur kami. Harga barangan yang dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran biasa.
“Saya sangat berharap agar program seumpama ini diteruskan dan diperluaskan lagi ke kawasan lain demi kesejahteraan rakyat,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada Penyelaras Parlimen Petaling Jaya atas pelaksanaan program tersebut.
-AA-





