
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SARIKEI, 5 Feb (MalaysiaAktif) – Kontinjen Zon Barat menyasarkan pencapaian terbaik pada Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 apabila menghantar 225 atlet dan pegawai untuk bersaing dalam 10 acara yang bermula semalam hingga Ahad ini.
Daripada jumlah itu, 126 atlet disasar menyumbang pingat kepada Zon Barat dalam temasya yang menghimpunkan 796 atlet dari Zon Utara, Selatan, Barat dan Tengah.
Ketua Kontinjen Zon Barat merangkap Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong berkata atlet perlu mengekalkan disiplin serta semangat kesukanan sepanjang kejohanan.
“Setiap perlakuan, sikap dan pencapaian anda mencerminkan imej serta maruah Zon Barat. Bertandinglah dengan penuh disiplin dan hormati pihak lawan serta pegawai kejohanan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontinjen di Dewan Suarah Sarikei, di sini semalam.

Michael menyampaikan amanat kepada atlet pada Majlis Pelepasan SUKSAR IV 2026 di Dewan Suarah Sarikei, sambil mengingatkan mereka menjaga disiplin dan imej zon.
Sebanyak 105 pingat emas menjadi rebutan dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan kali ini dengan Sri Aman mengendalikan lima acara iaitu ping pong, bola keranjang, petanque, sofbol dan tinju.
Betong pula menjadi venue bagi berbasikal, angkat berat, taekwondo dan bola jaring, manakala Lubok Antu menganjurkan sepak takraw dan karate.
-RJ-





