
Laporan/foto: Azimee Abdullah/Mawarni Ismail
BALIK PULAU, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 250 penduduk sekitar Simpang Empat menerima sumbangan ayam segar sempena Ramadan dalam satu program kebajikan, yang berlangsung di Balai Raya Simpang Empat, di sini kelmarin.
Inisiatif tahunan anjuran Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik ini memberi kelegaan kepada penerima khususnya golongan berpendapatan rendah dalam membuat persiapan awal menjelang bulan puasa.

Sesi pendaftaran dijalankan bagi melancarkan proses agihan sumbangan.
Menurut Muhammad Bakhtiar, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Balik Pulau juga akan meneruskan tradisi pemberian juadah berbuka puasa percuma pada setiap Khamis dan Jumaat sepanjang Ramadan bermula 20 Februari ini sebagai usaha berterusan membantu rakyat yang memerlukan.
Seorang penerima, Siti Hajar Ahmad, 43, melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima.
“Alhamdulillah, bantuan ini sangat bermakna buat kami sekeluarga. Sekurang-kurangnya dapat kurangkan sedikit perbelanjaan dapur menjelang puasa,” ujarnya.
Program kongsi rezeki yang memasuki penganjuran kali keempat ini menyasarkan penduduk dari kampung dan taman perumahan sekitar Simpang Empat, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti setempat setiap kali Ramadan menjelang.
Turut hadir Penghulu Kanan Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya Mohd Farouk Varusai Mohd.
-RI





