Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Nancy Shukri Santuni Komuniti Tionghua Lundu

By 19 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)/Cassidy Lisut (BKVS)

LUNDU, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Kunjungan rumah ke rumah sempena Tahun Baharu Cina di daerah ini berlangsung meriah apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri menziarahi beberapa pemimpin komuniti dan ketua kaum, semalam.

Lawatan tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat setempat, malah diserikan dengan demonstrasi seni kaligrafi tulisan Cina oleh artis tempatan, Bong Shin Siong, 63.

Nancy melihat demonstrasi seni kaligrafi tulisan Cina oleh artis tempatan Bong Shin Siong semasa kunjungan Tahun Baharu Cina di Lundu.

“Seni kaligrafi ini bukan sahaja menonjolkan keindahan tradisi, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat menghargai warisan budaya yang kaya dengan makna dan simbol tuah,” katanya ketika ditemui di sini.

Nancy yang turut ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Tanjong Azizul Annuar Adenan turut menyaksikan demonstrasi tersebut dengan penuh minat.

Chin Yu mempamerkan kemahiran membuat hidangan teh kepada Nancy hasil pembelajaran dan latihan selama dua tahun.

Dalam kunjungan berasingan di kediaman Pemanca Chin Kian Ming, anaknya Chin Yu, 17, mempamerkan kemahiran seni penyediaan teh yang dipelajarinya sejak dua tahun lalu sebagai tanda penghargaan terhadap warisan budaya keluarga.

Antara kediaman yang dikunjungi ialah Penghulu Khiu Nam Fa, Kapitan Bong Chai Chin, Pemanca Chin Kian Ming, Kapitan Jee Heong Chiew serta Pengerusi SUPP dan Persatuan Chung Hua Lundu Goh Chin Seng.

Nancy mengadakan kunjungan mesra di kediaman Penghulu Khiu Nam Fa sempena Tahun Baharu Cina di Lundu.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Abang Abdul Aziz Abang Draup, Setiausaha Politik kepada Menteri Mohammed Kamaluddin Mohd Effendi, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail dan Pegawai Penerangan Daerah Lundu Aishah Latip.

-RJ-

Tinggalkan komen anda