
Laporan/foto: Mohammad Hafizee (Kuala Lumpur)/KPDN WPKL
KUALA LUMPUR, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah melaksanakan satu Operasi Akta Cap Dagangan 2019 (OPS ACD 2019) bersama tiga wakil pemilik cap dagangan yang melibatkan dua premis perniagaan di dua lokasi sekitar Kuala Lumpur, kelmarin.
KPDN WPKL dalam kenyataan memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis warganegara disyaki memiliki, menjual, menawarkan atau mendedahkan untuk jualan barangan yang dipakaikan cap dagangan secara salah, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

KPDN WPKL menyerbu dua premis perniagaan menjual barangan berjenama tiruan bernilai RM1.43 juta.
“Operasi yang dijalankan hasil daripada maklumat risikan pihak kementerian itu telah melibatkan seramai 20 orang pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN WPKL.
“Siasatan awal turut mendapati bahawa kedua-dua premis berkenaan telah beroperasi sejak kira-kira dua tahun yang lalu dan bekalan barangan berkenaan diperolehi daripada pembekal dari luar negara, sebelum dipasarkan di pasaran tempatan. Premis ini juga disyaki menjalankan aktiviti penjualan barangan berkenaan kepada pelanggan sekitar Lembah Klang, selain aktif memasarkan dan menjual barangan tersebut melalui platform atas talian kepada pelanggan di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi tersebut, pihak KPDN WPKL telah membuat sitaan ke atas 20,357 unit barangan melibatkan minyak wangi dan krim penjagaan kulit berjenama terkenal antaranya Louis Vuitton, Gucci, Chanel, Hermes, Yves Saint Laurent, Burberry, Chloe, Lancome, Calvin Klein, Jo Malone, Dior dan Versace.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,433,062. Susulan itu, dua (2) kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
KPDN WPKL akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang Harta Intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan.

Anggota KPDN WPKL melakukan pemeriksaan ke atas barangan cap dagangan palsu di sekitar ibu negara.
Pihak Kementerian mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada wakil Pemilik Cap Dagangan yang berdaftar bagi meningkatkan lagi kerjasama berterusan untuk membanteras aktiviti pengedaran serta penjualan barangan tiruan di pasaran.
Usaha membanteras penyalahgunaan cap dagangan ini juga melibatkan komitmen negara di peringkat antarabangsa serta menyokong usahasama setelah menyertai Protokol Madrid yang berkuatkuasa mulai 27 Disember 2019.
KPDN WPKL ingin menasihatkan para pengguna agar tidak menyokong pembelian serta penjualan barang tiruan dan peniaga yang ingkar bakal menerima hukuman yang berat sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang.





