Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Kuil Then Sze Bukit Wu Gong Tarik Pengunjung Pelbagai Kaum

By 9 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Hajar Kamis/Heru Herman Hadi (Seremban)

SEREMBAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Kuil Then Sze Bukit Wu Gong, Temiang yang terletak kira-kira lima kilometer dari bandar raya Seremban bukan sahaja menjadi simbol sejarah masyarakat Cina di Negeri Sembilan malah turut menarik pengunjung pelbagai kaum.

Pengerusi Persatuan Dewa Then Sze bersama pengunjung kuil.

Terletak di atas puncak Bukit Jung dan dikelilingi tumbuh-tumbuhan semula jadi, kuil yang dibangunkan pada tahun 1863 ini bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadat malah turut menjadi tarikan pelancongan berunsur keagamaan dan sejarah bagi pelawat dari dalam dan luar negara.

Menurut Pengerusi Persatuan Penganut Dewa Then Sze, Chong Pui Keong kuil berkenaan menerima kunjungan ramai setiap bulan terutamanya pada hari pertama dan hari ke-15 mengikut kalendar Cina.

“Kuil ini bukan sahaja menjadi tumpuan penganut, malah pengunjung daripada pelbagai kaum datang untuk melihat seni bina, suasana sekeliling dan menikmati pengalaman budaya yang unik.

“Untuk sampai ke kuil utama, pengunjung perlu menaiki 264 anak tangga yang menjadikan lawatan itu satu pengalaman menarik dan berharga,” katanya yang ditemui Malaysia Aktif, di sini hari ini.

Arca lipan gergasi menjadi antara tarikan Kuil Then Sze Bukit Wu Gong.

Tambahnya, lokasi kuil di atas bukit menawarkan pemandangan yang indah serta suasana yang damai, sekali gus menjadikannya tempat sesuai untuk lawatan santai sambil menghargai warisan sejarah dan budaya masyarakat tempatan.

Dengan sejarah lebih 150 tahun dan seni bina tradisional yang terpelihara rapi, Kuil Then Sze Bukit Wu Gong diharapkan menjadi pengalaman yang unik bagi setiap pengunjung yang ingin menghargai warisan dan kepelbagaian budaya Negeri Sembilan.

-RI

Tinggalkan komen anda