
Laporan/foto: Heru Herman Hadi (Seremban)
LENGGENG, 9 Feb (MalaysiAktif) – Kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memeriahkan Program Road to Ramadhan yang disertai kira-kira 500 peserta di Masjid Kampung Pantai, di sini kelmarin menyuntik semangat perpaduan dan kesediaan rohani dalam kalangan masyarakat setempat menjelang Ramadan.

Zahid ketika memberi ucapan.
Dalam ucapannya sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu, Ahmad Zahid berkata program tersebut diadakan sempena menyambut ketibaan Ramadan.
“Program ini menjadi ruang untuk saya bersama masyarakat di sini mempersiapkan diri dari segi rohani dan memperkukuh perpaduan sebelum memasuki bulan yang penuh keberkatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penamaan semula Dewan Orang Ramai Kampung Pantai kepada Dewan Dato’ Ishak Ismail adalah hasil permintaan komuniti setempat yang ingin mengenang jasa dan sumbangan tokoh berkenaan.

Komuniti MADANI Kampung Pantai.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Lenggeng Nor Faizah Hussin, berbesar hati dan merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Datuk Mohd Asna Amin kerana memberi peluang kepada komuniti setempat terlibat secara langsung dalam penganjuran program berkenaan.
Program Road to Ramadan ini bukan sekadar sebuah acara, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh nilai kebersamaan, kesukarelawanan dan persediaan spiritual masyarakat Lenggeng dalam menyambut Ramadan dengan lebih bermakna.
-RI





