
Laporan/foto: Halimah Abdul Ghani (Seberang Perai Selatan)
SUNGAI ACHEH, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Program Semarak Sejahtera Warga Emas anjuran Parlimen Nibong Tebal di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) menjadi platform memperkasa kesejahteraan golongan warga emas di samping menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan kesihatan, sosial dan interaksi komuniti.

Fadhlina sempat merakamkan foto bersama warga emas yang hadir.
Program dirasmikan Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek, di sini semalam.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata penubuhan PAWE merupakan antara inisiatif kerajaan bagi menyediakan kemudahan khusus kepada warga emas untuk menjalankan aktiviti secara berterusan bersama komuniti disamping mengeratkan hubungan sosial antara generasi.
“Kampung Sungai Acheh dipilih sebagai Kampung Angkat Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tahun 2026, dengan ini pelbagai aktiviti dirancang melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk warga emas,” katanya.

Kehadiran penduduk setempat memeriahkan Program Semarak Sejahtera Warga Emas.
Seorang peserta, Salmah Abdullah, 62, melahirkan rasa syukur atas penubuhan PAWE di kawasan Sungai Acheh yang disifatkannya sebagai platform penting untuk membantu warga emas kekal cergas, produktif dan berdaya saing melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan bersama rakan sebaya.
Program yang bermula seawal pagi itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian bermanfaat antaranya saringan kesihatan percuma, senamrobik warga emas, kaunter semakan i-Sejahtera, pendaftaran ahli PAWE serta demonstrasi memadam kebakaran.
-RI





