
Laporan/foto: Norhasliza Hamzah (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Latihan Komuniti Bebas Denggi (KOMBED) 2026 merupakan agenda utama untuk menurunkan kadar penularan denggi secara holistik, terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Sesi Latihan dan Demonstrasi Community Larviciding bertujuan memperkenalkan kaedah penggunaan bahan kawalan larva untuk menghentikan pembiakan nyamuk Aedes dan mengurangkan risiko penularan wabak denggi
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Daerah Johor Bahru Dr. Akashah Abdullah berkata program tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan komuniti dalam kawalan dan pencegahan denggi secara bersepadu selaras pendekatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan masyarakat cakna terhadap ancaman kesihatan awam itu.
“Penglibatan berterusan komuniti di peringkat akar umbi adalah elemen kritikal bagi memastikan setiap langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui di Dewan Auditorium JOTIC, di sini semalam.
KOMBED 2026 merupakan anjuran bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

COMBI tetap memberi motivasi kepada ahli untuk terus membantu masyarakat, dengan fokus pada tindakan awal demi kesejahteraan komuniti
Beliau berkata misi untuk mewujudkan komuniti bebas denggi dipacu melalui strategi 3E: pengurusan persekitaran untuk mencegah pembiakan Aedes, pemerkasaan komuniti sebagai ejen perubahan, dan kawalan serta pemantauan populasi nyamuk secara saintifik dan berfokus.
“Inisiatif ini diharap dapat mencetuskan tindakan proaktif masyarakat dalam mewujudkan persekitaran sihat, sekali gus menyokong aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) untuk kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Johor Bahru Dr Haidar Rizal Toha dan Pengarah Kesihatan MBJB Dr. Aslinda Salikin.
-AA-





