Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Dua Projek Naik Taraf Jeti Pelancongan Port Dickson Diluluskan

By 6 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Pusat Khidmat DUN Linggi

PORT DICKSON, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan melalui peruntukan Timbalan Perdana Menteri II telah meluluskan pelaksanaan dua projek menaik taraf infrastruktur jeti pelancongan di Port Dickson dengan kos keseluruhan hampir RM1 juta.

Jeti Pengkalan Kempas kini berwajah baharu

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Dato’ Mohd Faizal Ramli berkata projek naik taraf tersebut bertujuan meningkatkan kemudahan awam, menyokong industri pelancongan serta memperkukuh aktiviti ekonomi komuniti setempat.

“Kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf di Jeti Pelancongan Kampung Telok Pelandok dan Jeti Pengkalan Kempas ini dijangka dapat meningkatkan tahap keselesaan serta keselamatan pengguna dan nelayan tempatan.

“Pelaksanaan kedua-dua projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan infrastruktur awam di kawasan pesisir pantai, di samping menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.

8 buah bangsal untuk kegunaan nelayan setempat

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jeti Pelancongan di Jeti Pengkalan Kempas, di sini semalam.

Tambah beliau, projek berkenaan diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti nelayan, pengusaha pelancongan serta orang awam.

Antara skop kerja utama projek ini termasuk pembersihan tapak, kerja cerucuk (piling), pembinaan struktur konkrit bangsal jeti, kerja kayu dan bumbung pondok nelayan, kerja kemasan, pembinaan jeti terapung (floating jetty) serta pemasangan rel penghadang (railing).

-AA-

Tinggalkan komen anda