
Laporan/foto: Shamsul Bahari Abdul Shukor
GEORGE TOWN, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Lebih 10,000 masyarakat berbilang kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee di SPICE Arena, di sini kelmarin.

Acara menggaul yee sang sebagai simbolik mendoakan kemakmuran dan kesejahteraan buat rakyat Pulau Mutiara.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah serta kepimpinan kerajaan negeri menambah seri majlis.
Menurut Chow, penganjuran acara tahunan ini bukan sekadar majlis keraian, malah merupakan manifestasi warga negeri dalam mempromosi kemajmukan budaya serta keharmonian kaum.
“Saya berharap Pulau Pinang boleh mempersembahkan satu tauladan dan contoh yang baik dari segi memupuk perpaduan, keharmonian serta kesejahteraan masyarakat,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Pembangunan Ekonomi dan Tanah dan Komunikasi.
-RI





