
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Pembangunan infrastruktur termasuk projek Lebuh Raya Pan Borneo yang memendekkan masa dan jarak perjalanan dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi di Bahagian Sri Aman.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata transformasi fizikal yang dicapai sejak sedekad lalu menjadikan Sarawak semakin maju serta berdaya saing di peringkat nasional.
“Kejayaan pembangunan ini perlu disokong modal insan berkualiti. Anak jati Sarawak perlu merebut peluang pendidikan percuma yang disediakan kerajaan bagi melahirkan generasi pemimpin yang kompeten,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Cawangan Simanggang di Stadium Mini Majlis Daerah Sri Aman, Sabtu lepas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Francis Harden Hollis berkata penganjuran majlis tersebut dilaksanakan secara kolaboratif dengan penglibatan pemimpin komuniti setempat bagi meraikan kepelbagaian budaya.
Majlis yang dihadiri hampir 1,000 pengunjung berlangsung meriah dengan persembahan kebudayaan dan tarian singa meskipun dalam keadaan hujan renyai.
-RJ-





