
Laporan/foto: Iswandi Kassim/UKAS (Sarawak)
SRI AMAN, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Program penyediaan bubur lambuk di perkarangan Masjid Bandar Sri Aman menyemarakkan semangat perpaduan menerusi kerjasama antara agensi media, pengurusan masjid dan komuniti setempat, kelmarin.
Program itu melibatkan CATS FM, Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Bandar Sri Aman serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pasir Panas.
Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata tradisi bubur lambuk menjadi medium memperkukuh ikatan sosial tanpa mengira latar belakang masyarakat.

Bubur lambuk diagihkan kepada jemaah masjid dan pengguna jalan raya sebagai tanda keprihatinan komuniti terhadap kebajikan masyarakat serta musafir menjelang waktu berbuka.
“Bubur lambuk bukan sekadar hidangan bermusim, malah ia merupakan satu simbol penyatuan unik yang mengekalkan warisan nenek moyang kita,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Sementara itu, Pengerusi JKP Masjid Bandar Sri Aman Azmi Morshidi berkata sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk berjaya disediakan secara gotong-royong hasil kerjasama semua pihak.
“Agihan dilakukan kepada jemaah masjid dan pengguna jalan raya selepas solat Asar bagi menyemarakkan syiar Ramadan serta membuktikan keprihatinan komuniti terhadap kebajikan masyarakat setempat dan musafir,” katanya.
-RJ-





