Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Lesen Motosikal Percuma: Inisiatif My Lesen B2 Ringankan Bebanan Masyarakat Perlis

By 3 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

ARAU, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Program My Lesen B2 Peringkat Negeri Perlis 2026 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis berjaya menarik minat golongan belia, terutama pelajar dan golongan berpendapatan sederhana untuk mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (motosikal) secara percuma.

Kristinamary tekun mengisi borang untuk pemohonan lesen memandu B2

Timbalan Pengarah dan Ketua Bahagian Pemandu JPJ Negeri Perlis, Mohd Shaufiz Osman berkata program di pejabat JPJ di Jejawi selama dua hari yang berakhir pada 1 Februari itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran dan memperkasakan golongan kurang berkemampuan.

“Program permohonan dan saringan untuk lesen B2 ini adalah percuma dan segala kos dari segi bayaran untuk proses mengambil lesen ini akan ditanggung oleh kerajaan. Proses tersebut akan dilakukan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Temu Bual Hemoi Hemoi anjuran Radio Malaysia Perlis (Perlis FM).

Tambah beliau, program itu telah bermula sejak 2022 dan sehingga kini, seramai lebih daripada 2,000 rakyat di Perlis berjaya memperoleh lesen kelas B2.

Noralila menunjukan borang pemohonan untuk lesen B2

“Antara syarat utama adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan terdiri daripada golongan yang pernah menerima bantuan kerajaan (B40) serta tanggungan (penerima Sumbangan Tunai Rahmah). Pemohon juga mestilah sihat fizikal dan mental, belum memiliki sebarang lesen memandu, dan bebas daripada senarai hitam mahkamah serta pihak berkuasa.

“Pada tahun ini, sebanyak 1,500 kuota diperuntukkan kepada rakyat Perlis berbanding hanya 800 kuota pada tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Noralila Zakaria, 38, menyatakan program ini nyata mampu meringankan beban perbelanjaan keluarga.

“Saya dan anak lelaki memohon lesen ini supaya saya dapat menggunakan motosikal dengan selamat untuk menghantar anak ke sekolah dan anak pula menggunakan motosikal ke tempat kerja. Seperti yang kita tahu, harga untuk satu lesen motosikal kelas B2 dianggarkan sekitar RM400, tetapi dengan inisiatif kerajaan ini, ia ternyata memberi penjimatan yang besar kepada kami sekeluarga,” ujarnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda