
Laporan/foto: Aini/IPD Arau
ARAU, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Polis menahan 11 individu termasuk warga asing yang disyaki terlibat dalam beberapa siri kes pecah rumah di sekitar Arau dan Mata Ayer, menerusi Op Pintu pada 16 Jan hingga 24 Jan lepas di Arau dan Cheras, Kuala Lumpur.

Penerangan tentang operasi Op Pintu
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodzi berkata mereka yang ditahan berusia lingkungan 30-an membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita warganegara Myanmar, seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki tempatan.
“Siasatan awal mendapati sindiket aktif sejak beberapa bulan lepas menggunakan modus operandi pecah masuk kediaman ketika penghuni tiada di rumah pada waktu siang dan awal malam.
“Mereka yang mempunyai peranan masing-masing menggunakan peralatan khas bagi memotong kunci serta jeriji besi untuk memudahkan pencerobohan ke dalam rumah sasaran,” katanya ketika ditemui media, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata pihaknya merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah antaranya telefon bimbit pelbagai jenama, jam tangan, wang tunai termasuk mata wang asing, dokumen perjalanan serta serta peralatan yang digunakan dalam jenayah itu seperti peralatan memotong besi serta kenderaan.

Antara barangan rampasan Op Pintu
“Kesemua rampasan bernilai hampir RM100,000 telah didaftarkan sebagai barang kes bagi membantu siasatan dan proses pendakwaan.
“Pihak polis akan terus mempergiatkan risikan dan operasi berfokus, selain mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat bagi memastikan persekitaran yang selamat dan sejahtera,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457, 414 dan 411 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah dengan niat mencuri, menolong menyembunyikan harta curi, dan menerima harta curi secara tidak jujur.
Suspek juga turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-AA-





