
Laporan/foto: Suzaima Ibrahim/Mohd Radzi Yusof (Kuala Krai)
KUALA KRAI, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Kejohanan bola sepak Liga Juara Empat Penjuru menyaksikan gabungan pemain veteran dan golongan muda beraksi sengit, sekali gus membuktikan semangat kesukanan dan persaingan sihat terus subur dalam kalangan pelbagai peringkat usia di daerah ini.

Pemain Titab Fc bergambar bersama sebelum sepak mula perlawanan bermula.
Kejohanan anjuran Shell Kuala Krai yang disertai Titab FC, Shell FC, Tualang FC dan Veteran Enggong United itu mempamerkan aksi bertenaga daripada pemain veteran berpengalaman serta semangat juang tinggi pemain muda.
Perlawanan yang berlangsung kelmarin bukan sahaja menarik dari segi teknik permainan, malah menjadi medium perkongsian pengalaman dan inspirasi antara generasi.
Pemain Titab FC Roslan Che Omar, 56, berkata penganjuran liga melibatkan pasukan veteran mampu mengeratkan hubungan antara generasi, di samping menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

Roslan Che Omar pemain veteran pasukan Titab FC bersemangat beraksi dalam Liga Juara Empat Penjuru.
“Walaupun berusia, kami masih mampu memberi contoh dan motivasi kepada anak muda agar terus aktif dalam aktiviti sukan,” katanya.
Dalam kejohanan tersebut, Titab FC muncul juara, diikuti Shell FC di tempat kedua, manakala Tualang FC di tempat ketiga. Veteran Enggong United menamatkan saingan di tempat keempat.
Liga ini dilihat berjaya mewujudkan suasana harmoni dan persaingan sihat, selari dengan usaha memperkasa pembangunan sukan akar umbi serta penglibatan komuniti setempat.
-RI





