
Laporan/foto: Mohammad Subuh/Mohd Azizi & Mohd Firdaus (Simunjan)
SIMUNJAN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Market Lama Simunjan terus kekal sebagai nadi ekonomi penduduk setempat sejak diwujudkan oleh Majlis Daerah Simunjan pada tahun 1979.
Pusat penjaja berkenaan menjadi tumpuan masyarakat untuk memasarkan hasil pertanian dan penternakan, sekali gus membantu menjana pendapatan keluarga serta mengukuhkan perpaduan kaum melalui aktiviti perniagaan harian.

James menyifatkan Market Lama Simunjan sebagai platform terbaik untuk menjana pendapatan keluarga melalui jualan hasil perkebunan.
Pasar yang beroperasi seawal 6 pagi ini menawarkan pelbagai barangan basah dan keperluan harian selain gerai makanan dan minuman yang sentiasa dikunjungi penduduk tempatan dan luar.
Seorang penduduk, James Simunjan, 40, berkata Market Lama Simunjan menjadi platform terbaik bagi masyarakat mengembangkan ekonomi keluarga menerusi jualan hasil perkebunan.
“Di sinilah kami memasarkan hasil tanaman sendiri. Pendapatan yang diperoleh membantu menampung perbelanjaan harian keluarga,” katanya ketika ditemui di pasar tersebut semalam.

Azmi Hamzah menyifatkan Market Lama Simunjan sebagai medan pertemuan penting yang mengeratkan silaturahim penduduk setempat.
Bagi pengunjung, Azmi Hamzah, 65, pasar itu bukan sekadar lokasi membeli-belah malah menjadi medan pertemuan penting untuk penduduk beramah mesra dan mengeratkan silaturahim.
“Pasar ini tempat kami bertemu rakan lama dan bertukar cerita. Ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan masyarakat di sini, ” katanya.
Kawasan sekitar pasar turut dimeriahkan dengan kewujudan Pasar Tamu yang menawarkan pelbagai hasil hutan, perikanan serta kraf tangan unik, sekali gus menambah daya tarikan kepada pengunjung.
Menjelang usia 47 tahun pada 2026, Market Lama Simunjan kekal sebagai mercu tanda kebanggaan daerah dan wajar dipelihara agar terus berfungsi sebagai pusat sosioekonomi yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat setempat.
-RJ-





