
Laporan/foto: Siti Rahimah (Julau)
JULAU, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Projek pembinaan dan naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Julau yang bernilai kira-kira RM25.69 juta dijangka mampu menjamin bekalan air berkualiti serta meningkatkan kesejahteraan rakyat seiring pertumbuhan pembangunan dan peningkatan penduduk di daerah ini.
Projek inisiatif kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi itu dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak bagi memenuhi permintaan bekalan air yang kian meningkat khususnya di sekitar Pekan Julau dan kawasan Ng Luau.

Pembinaan Loji Rawatan Air Julau baharu yang kini berada di fasa akhir dijangka mampu memperkukuh sistem bekalan air sedia ada sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat di daerah Julau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Dato Rolland Duat Jubin berkata projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak itu kini berada di fasa akhir dengan kemajuan fizikal mencecah 94.42 peratus setakat 25 Jan lepas.
“Saya menegaskan agar LRA Julau ini dapat mula beroperasi seawal Mac 2026 bagi memastikan masyarakat setempat menikmati bekalan air yang lebih stabil dan berterusan sebaik sahaja kerja ujian serta pentauliahan selesai dilaksanakan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tapak ke LRA Julau, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 isi rumah melibatkan penduduk di sekitar Pekan Julau dan kawasan sekitarnya.
Projek itu melibatkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 3.4 juta liter sehari (MLD) serta tangki takungan selain kerja pemasangan paip baharu yang akan disambungkan kepada sistem agihan sedia ada bagi meningkatkan kecekapan dan kestabilan bekalan air.
Sementara itu, Jurutera JBALB Sarikei Ts. Chien Ghin Wei berkata skop projek merangkumi kerja menaik taraf LRA Julau sedia ada termasuk pembongkaran dan pemindahan loji pakej berkapasiti 3.4 MLD serta tangki air bersih 0.3 MLD dari tapak LRA Mukah ke tapak LRA Julau.

Chien Ghin Wei memberi penerangan mengenai pembinaan tangki air baharu di Loji Rawatan Air Julau sebagai sebahagian daripada projek naik taraf bagi meningkatkan kapasiti dan kestabilan bekalan air di kawasan berkenaan.
Menurutnya, fasa seterusnya melibatkan kerja pemulihan, naik taraf, pemasangan, penyambungan, serta ujian dan pentauliahan loji pakej 3.4 MLD dan tangki air bersih berkapasiti 1.3 MLD.
Skop projek turut merangkumi pembinaan stor bahan kimia, pemasangan pam air mentah dan air terawat, peralatan mekanikal dan elektrikal (M&E), serta kerja-kerja berkaitan lain.
-RJ-





