
Laporan/foto: Khairul Shahrizal Ismail (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni peniaga dan pengunjung menerusi program agihan bubur lambuk di Bazar Ramadan Kuala Selangor, semalam.
Program itu diadakan sempena Majlis Ihya Ramadan Sultan Selangor Bersama Rakyat yang menjadi antara pengisian tahunan kerajaan negeri sepanjang bulan Ramadan.

MB Selangor mengunjungi Bazar Ramadan Kuala Selangor.
Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat setempat yang terus menyokong penganjuran program tersebut.
Agihan turut melibatkan petugas barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan petugas kesihatan.
Menurut Amirudin, kehadirannya ke program berkenaan adalah bagi melihat sendiri kemeriahan suasana ekonomi komuniti setempat sepanjang Ramadan.
“Agihan bubur lambuk ini dapat menyantuni rakyat setempat secara langsung,” katanya ketika ditemui selepas edaran di sekitar bazar.
Beliau berkata bazar Ramadan bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa, malah menjadi platform penting menjana pendapatan peniaga kecil.

Kemeriahan suasana Bazar Ramadan Kuala Selangor.
Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan kebajikan peniaga terus diberi perhatian termasuk dari aspek kemudahan dan keselamatan.
Program berkenaan turut mencerminkan semangat kebersamaan antara kepimpinan negeri dan rakyat dalam menyemarakkan bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Dato’ Rizam Ismail, Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Raiz Radzuan serta barisan kepimpinan agensi negeri yang lain.
-RI





