
Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 30 ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Baling menyertai Program Tadarus Al-Quran sempena Ramadan 1447H/2026 di premis PAWE Baling, di sini semalam.
Program yang julung kali diadakan itu dianjurkan bagi memberi ruang kepada warga emas serta komuniti setempat memperkukuh amalan kerohanian sepanjang Ramadan di samping memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan peserta.

Azemi Ghazali sedang menyampaikan ucapan aluan.
Pengerusinya Azemi Ghazali berkata penganjuran program berkenaan bertujuan menyemarakkan bulan Ramadan di samping menanamkan rasa cinta terhadap al-Quran dalam kalangan ahli.
“Program ini diharapkan dapat diteruskan secara konsisten sepanjang Ramadan dan seterusnya dijadikan rutin tahunan. Ia bukan sahaja menggalakkan bacaan al-Quran secara berkumpulan, malah menjadi platform mengeratkan ukhuwah dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan warga emas,” katanya.
Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi membolehkan bacaan dilakukan secara lebih tersusun serta memberi peluang semakan tajwid dilakukan dengan lebih berkesan.
-RI





