Skip to main content
Berita TempatanSarawak

150 JKKK, NGO Terima Geran RM975,000 di DUN Batu Danau

By 6 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Randy Achang William/Muhamad Rizal

LIMBANG, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 150 wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di DUN Batu Danau menerima Geran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjumlah keseluruhan RM975,000 dalam satu majlis penyerahan di Dewan Seminar Saint Edmund, di sini semalam.

ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang yang menyempurnakan majlis menegaskan peruntukan berkenaan bertujuan memperkukuh pembangunan komuniti serta memperkasa program akar umbi di kawasan luar bandar.

Selain geran komuniti, majlis turut menyaksikan penyerahan cek peruntukan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Tubai Baru dan Gereja Saint Matius Kampung Meruyu bagi tujuan penambahbaikan kemudahan rumah ibadat.

Paulus menyampaikan geran kepada salah seorang wakil JKKK/NGO pada Majlis Penyerahan Geran ADUN Batu Danau di Dewan Seminar Saint Edmund, Limbang, semalam.

Dalam ucapannya, Paulus menekankan aspek integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam.

“Setiap penerima perlu memastikan dana diurus secara telus dan berhemah. Laporan perkembangan projek hendaklah dikemukakan kepada pihak berkaitan, manakala anggaran kos perlu munasabah dan realistik bagi menjamin kelancaran pelaksanaan,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mulai tahun ini, penyaluran peruntukan oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) dan Pejabat Premier Sarawak akan dilaksanakan sepenuhnya melalui kaedah Pindahan Dana Elektronik (EFT), menggantikan penggunaan cek fizikal bagi meningkatkan kecekapan serta ketelusan sistem penyampaian.

Bagi permohonan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pula, ia kini perlu dibuat secara dalam talian melalui Pejabat Daerah dengan sokongan ADUN kawasan bagi memastikan penyelarasan yang lebih sistematik di peringkat DUN.

Helen Hitong, 60, mewakili Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Tubai Baru, mengucapkan terima kasih kepada UNIFOR atas sumbangan geran yang amat bermakna untuk pembangunan dan baik pulih kemudahan rumah ibadat mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua kaum atas komitmen mereka serta memaklumkan kenaikan elaun sebanyak RM400 yang diharap dapat menjadi suntikan motivasi untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada masyarakat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda