Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Misi Sifar Jenayah, Buli: SK Engkabang Ambil Langkah Proaktif

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jane Chua (Saratok)

ROBAN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 140 murid bersama ibu bapa menyertai Program Kesedaran Jenayah, Kesihatan dan Keselamatan Kanak-Kanak (SEDAR) anjuran Pasukan Kebajikan Kanak-kanak Betong di Sekolah Kebangsaan Engkabang, Roban, baru-baru ini.

Inspektor Wealy James menyampaikan ceramah “Anti Buli di Sekolah”, menekankan kepentingan pencegahan buli sejak peringkat sekolah rendah.

Program berkenaan bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran murid mengenai keselamatan diri serta langkah pencegahan jenayah sejak di bangku sekolah rendah.

Antara pengisian utama ialah ceramah bertajuk “Anti Buli di Sekolah” yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, Insp. Wealy James.

Menurut beliau, pencegahan gejala buli wajar dilaksanakan pada peringkat awal persekolahan kerana ia membentuk sahsiah dan tingkah laku kanak-kanak.

“Kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah amat penting bagi memastikan setiap anak mendapat bimbingan serta perlindungan sewajarnya,” katanya.

Alex menjelaskan Program SEDAR membimbing murid membina sikap positif dan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan diri.

Wealy turut menekankan kepentingan pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan telefon bimbit dan media sosial oleh anak-anak.

“Pendedahan tanpa kawalan kepada media sosial boleh menjejaskan emosi, keselamatan dan perkembangan kanak-kanak,” jelas beliau.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Alex Joseph Joto program berkenaan membantu murid membina sikap positif, keyakinan diri serta kesedaran keselamatan sejak peringkat awal.

“Murid didedahkan cara menjaga keselamatan diri, mengelak bahaya dan membuat keputusan selamat, sekali gus membentuk tabiat dan pemikiran matang sejak peringkat awal,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda