
Laporan/foto: Kamarulzaman Ahmad (Dalat)
DALAT, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Dalat terus berperanan sebagai pusat sokongan dan latihan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di daerah ini menerusi pendekatan pemulihan berasaskan komuniti.

Arziella komited memastikan kelancaran pelaksanaan silibus latihan di samping sentiasa menitikberatkan kebajikan peserta dan warga kerja pusat.
Pusat berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran asas, latihan kendiri serta aktiviti yang membantu peserta meningkatkan keupayaan dan keyakinan diri.
Menurut penyelia pusat, Noor Arziella PDK Dalat membantu golongan OKU yang berdepan kekangan jarak dan kewangan untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan pemulihan secara lebih teratur dan bersesuaian.
“Harapan kami agar selepas tamat latihan, masyarakat dapat membuka ruang dan menerima golongan ini dalam sektor pekerjaan serta kehidupan bermasyarakat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Selain latihan harian, pusat itu turut mengetengahkan bakat dan kreativiti peserta melalui aktiviti kraftangan serta penghasilan produk yang dipasarkan bagi memberi nilai tambah kepada mereka.

Dessie yang dikenali dengan senyuman mesranya, komited mendampingi peserta serta memastikan setiap aktiviti berjalan lancar dalam suasana selesa dan teratur.
Sementara itu, pembantu pusat, Dessie berkata peranan ibu bapa dan penjaga amat penting dalam memastikan keberkesanan latihan yang diterima.
“Amalan yang dipelajari di pusat perlu diteruskan di rumah supaya perkembangan mereka lebih konsisten,” ujarnya.
PDK Dalat turut menggalakkan penglibatan komuniti setempat melalui sokongan moral, sumbangan dan penyertaan dalam program anjuran pusat bagi mewujudkan persekitaran lebih inklusif serta mesra OKU.
-RJ-





