Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

Skim Rondaan Sukarela Perkukuh Keselamatan Komuniti

By 12 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:M Zakry Chan

PAYA RUMPUT, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang digerakkan di bawah inisiatif Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) terus memainkan peranan penting memperkukuh keselamatan komuniti setempat selain berfungsi membantu pihak berkuasa dalam usaha pencegahan jenayah melalui rondaan berkala, pemantauan kawasan berisiko serta penyaluran maklumat awal kepada pihak polis.

Afi Razali (dua dari kanan) antara sukarelawan SRS yang aktif.

Anggota SRS, Afi Razali, 38, yang terlibat dalam Majlis Kawalan Kehormatan anggota SRS dari beberapa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Krubong sempena Program Sembang Santai Anak Muda dan Jalinan Mesra Perpaduan@KRT Karnival Demi Paya Rumput 2026 di Taman Krubong Jaya 2, di sini semalam, berkata penglibatan dalam SRS memberi peluang kepada penduduk untuk bersama-sama menjaga keselamatan kawasan mereka.

“Kita tak mahu hanya bergantung sepenuhnya kepada pihak polis. Bila ada rondaan berkala, sekurang-kurangnya penjenayah akan berfikir dua kali. Kehadiran anggota SRS sendiri sudah cukup memberi mesej bahawa kawasan ini dipantau.

“Semangat kejiranan juga semakin kukuh apabila penduduk lebih mengenali antara satu sama lain melalui aktiviti rondaan,” katanya yang juga sebagai Timbalan Pengerusi KRT Taman Krubong Heights Fasa 1.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin memeriksa kawalan kehormatan anggota SRS.

Seorang penduduk, Salmiah Dolah, 49, menyifatkan kewujudan SRS memberi rasa lebih selamat terutama pada waktu malam.

“Dulu kalau dengar bunyi motosikal pelik waktu malam memang rasa risau, sekarang bila nampak anggota SRS buat rondaan, hati jadi lebih tenang. Anak-anak pun lebih selamat untuk bermain di kawasan kejiranan,” katanya.

Pelaksanaan SRS dilihat bukan sahaja membantu mengurangkan risiko jenayah kecil seperti kecurian dan vandalisme, malah turut mengeratkan hubungan masyarakat serta memupuk budaya prihatin dalam kalangan penduduk.

-RI

Tinggalkan komen anda