Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanTerengganu

Penjawat Awam Diseru Kuasai Teknologi AI Perkasa Penyampaian Perkhidmatan

By 24 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)

HULU TERENGGANU, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Penjawat awam diseru agar menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) selaras arus pemodenan pentadbiran kerajaan yang semakin mencabar dan dinamik.

Mohd Azmi, menyampaikan ucapan sempena lawatan kerja ke Daerah Hulu Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Terengganu Mohd Azmi Mohamad Daham berkata penekanan perlu diberikan kepada kepentingan pendigitalan dalam urusan pentadbiran yang menurutnya mampu memudahkan urusan rakyat secara signifikan tanpa perlu mereka hadir ke bandar bagi setiap urusan kecil.

“Penjawat awam juga perlu memanfaatkan teknologi AI bagi menggandakan kecepatan dan keberkesanan kerja pejabat.

“Terdapat pelbagai aplikasi AI yang boleh disesuaikan dengan bidang tugas masing-masing demi meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Daerah Hulu Terengganu di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, di sini kelmarin.

Penjawat awam diseru agar menguasai teknologi Kecerdasan Buatan (AI) selaras dengan arus pemodenan pentadbiran kerajaan yang semakin mencabar dan dinamik.

Program berkenaan menjadi platform pertemuan rasmi bersama penjawat awam daerah tersebut, sekali gus memperkukuh semangat kerja berpasukan serta komitmen dalam melaksanakan amanah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.

Sementara itu, beliau berharap agar seluruh kakitangan awam terus mengekalkan semangat kerja yang tinggi dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta komited.

Mohd Azmi turut mengingatkan bahawa sehebat mana sekalipun sistem dan perkhidmatan yang diperkenalkan, semuanya tidak bermakna tanpa integriti yang utuh.

Katanya, penjawat awam wajib memelihara integriti dengan menjauhi, menolak serta tidak bertoleransi terhadap sebarang bentuk pelanggaran tatakelakuan, rasuah dan konflik kepentingan.

-RI

Tinggalkan komen anda