
Laporan/foto: Hamidah Hamid (Terengganu)
KEMAMAN, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Penyaluran Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kali kedua secara one-off yang mula dikreditkan melalui MyKad kepada penerima di seluruh negara bermula semalam disambut baik penjawat awam di daerah ini.
Rata-rata penerima melahirkan rasa syukur dan lega apabila bantuan berkenaan dilihat mampu meringankan beban perbelanjaan harian, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan harga barangan keperluan asas.

Wajah ceria penjawat awam meluahkan rasa syukur menerima Bantuan SARA yang membantu meringankan kos sara hidup
Menurut seorang kakitangan awam, Nurul Ain Mohd Noor, 38, bantuan SARA amat membantu dalam menampung keperluan harian keluarga terutama pembelian barangan dapur.
“Walaupun jumlahnya tidak besar, bantuan ini sangat bermakna. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan dan memberi sedikit kelegaan kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif di sini, semalam.
Pandangan sama turut disuarakan oleh Surani Mat Nor, 47, yang menyifatkan penyaluran SARA kali kedua sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam yang turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa.
“Bantuan ini sangat membantu, terutamanya dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat. Saya berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan MADANI.
Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, selari dengan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
-AA-





