
Laporan/foto: Awangku Hamizan (Sarawak)
BELAGA, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Pertandingan Mobile Legends: Bang Bang sempena Piala Ketua Polis Daerah Belaga bukan sahaja menjadi medan persaingan e-sukan, malah memberi limpahan rezeki kepada peniaga kecil tempatan yang berniaga di sekitar Dewan Masyarakat Belaga.
Sepanjang dua hari pertandingan, pekarangan dewan menjadi lebih meriah dengan gerai makanan dan minuman yang dikendalikan penduduk setempat, menawarkan makanan ringan, minuman sejuk serta hidangan panas untuk pemain dan pengunjung.
Mohd Perdaus Ramli, 32, salah seorang peniaga, berkata kehadiran peserta dan penyokong yang ramai membuka peluang menambah pendapatan harian.
“Biasanya hujung minggu tidak seramai ini orang datang. Bila ada pertandingan besar, memang terasa perbezaannya. Alhamdulillah, jualan pun lebih baik,” katanya ketika ditemu bual.

Mohd Perdaus Ramli menggoreng makanan panas untuk dijual kepada pengunjung dan peserta pertandingan Mobile Legends sempena Piala Ketua Polis Daerah Belaga di Dewan Masyarakat Belaga.
Menurut penganjur, program ini bukan sahaja mendekatkan pihak polis dengan masyarakat, tetapi secara tidak langsung merancakkan ekonomi setempat. Pengunjung bukan sahaja menyaksikan perlawanan sengit, malah meluangkan masa membeli makanan dan minuman sambil bersantai bersama rakan-rakan.
Penganjuran acara komuniti sebegini dilihat memberi impak positif dari pelbagai aspek, termasuk sosial dan ekonomi. Ia menjadi ruang pertemuan masyarakat pelbagai peringkat usia dalam suasana harmoni dan santai.
Dengan sambutan menggalakkan, program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja untuk memperkasakan e-sukan dalam kalangan belia, malah menjana peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
-RJ-





