
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)
LUNDU, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sematan/Lundu digesa lebih proaktif memperkasa ahli supaya tidak bergantung kepada penangkapan ikan semata-mata sebaliknya meneroka produk hiliran berdaya saing.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Abang Draup berkata PNK Sematan/Lundu yang mempunyai 593 ahli meliputi zon Sematan, Lundu serta Sempadi berperanan penting memacu ekonomi biru di kawasan barat negeri ini.
Ekonomi biru ialah pendekatan pembangunan yang memanfaatkan sumber laut seperti perikanan, pelancongan marin, tenaga boleh baharu dan perdagangan maritim secara mampan.
“Kerajaan Sarawak komited memastikan ahli menerima manfaat daripada projek pembangunan seperti Anjung Usahawan, naik taraf jeti serta pembinaan jalan titian bagi membuka ruang kepada usahawan produk hiliran,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-45 PNK Sematan/Lundu di Dewan Mahligai Gading, di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan melalui Jabatan Pertanian Sarawak serta agensi berkaitan terus menyalurkan bantuan peralatan perikanan dan latihan termasuk mempermudah permohonan secara dalam talian selaras agenda ekonomi digital.
Sementara itu, Pengerusi PNK Sematan/Lundu Sharkawi Nawi menyeru ahli memanfaatkan segala peluang dan kemudahan disediakan bagi meningkatkan kemahiran serta pendapatan.
Turut hadir Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Muhammad Zulkarnain serta Pengurus Besar PNK Sematan/Lundu Awang Izarrudin Awang Suut.
-RJ-





