
Laporan/foto: Md Sazali Abd Hamid (Sik)
SIK, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sik dengan kerjasama ADABI Consumer Industries Sdn Bhd (Cawangan Utara) menganjurkan Program Bubur Lambuk bagi mengeratkan silaturahim dan menyantuni pelajar asrama dalam satu gotong-royong yang berlangsung di Dewan Terbuka sekolah, semalam.

Agihan bubur lambuk kepada wakil agensi.
Program melibatkan penyediaan bubur lambuk secara bergotong-royong oleh guru, ibu bapa dan pelajar.
Syarikat pengeluar produk makanan tempatan ADABI turut membekalkan pelbagai produk rempah dan perasa bagi memastikan kelancaran serta kualiti masakan.
Pengetua SMKA Sik Zaini Abdullah, berkata penganjuran program berkenaan bukan sahaja bertujuan memupuk semangat kebersamaan, malah sebagai usaha menyantuni para pelajar asrama yang pulang ke kampung.
“Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara guru, ibu bapa dan pelajar, malah bubur lambuk yang disediakan akan diagihkan kepada para pelajar asrama yang akan pulang ke kampung pada hari ini,” katanya.
Menurutnya, penyediaan bubur lambuk kali ini menggunakan bahan-bahan segar seperti ayam, daging dan santan selain bahan asas lain bagi memastikan rasa yang enak serta berkualiti untuk semua penerima.

Gotong-royong memasak bubur lambuk.
Sementara itu, Pengarah Urusan ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. (Cawangan Utara) Dato’ Jaafar Abdul Ghani berkata pelaksanaan program seumpama itu merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang dijalankan mengikut jadual di seluruh kawasan utara.
Menurutnya, kebiasaannya pihak penganjur menyediakan bahan basah seperti ayam, daging dan santan, manakala pihak Adabi membekalkan rempah-ratus, perasa serta produk berkaitan mengikut keperluan program di lokasi terlibat.
-RI





